Isnin, 12 Julai 2010

JANGAN LETAK HARAPAN TINGGI PADA NAJIB

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Rakyat wajar tidak meletak harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu Gaza walaupun beliau disokong Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Ini kerana, beliau berkata, usul 'Selamatkan Gaza' yang dibawa oleh Najib ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Rabu lalu ditolak mentah oleh dunia, termasuk Amerika Syarikat sendiri.

"Sepatutnya dengan firma pelobi yang dekat dengan Yahudi dan Amerika ini, Najib bolehlah pengaruhi PBB," ujar beliau malam tadi dalam majlis 'Sembang Santai Bersama YB Sempena Pertandingan Akhir Piala Dunia' di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kegagalan Najib itu mungkin disebabkan sikap sambil lewa Kuala Lumpur sendiri melobi negara-negara yang sependapat berhubung isu kemanusiaan Gaza sebelum usul tersebut dibahas dalam kolokium PBB.

Katanya lagi, Najib sepatutnya perlu membawa usul tersebut bersama-sama Turki serta beberapa negara yang lantang mempertikan tindakan zionis Israel di wilayah bergolak itu.

Dengan berbuat demikian, katanya lagi, akan mengukuhkan keyakinan dunia terhadap usul yang dibawa oleh Kuala Lumpur.

"Kenapa tak ajak Turki dan yang lain sekali bersama kita," soal beliau sambil mempertikai iltizam politik Najib.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegagalan Najib itu berpunca daripada hubungan tidak langsung dengan APCO dengan negara haram Israel dan hegemoni Amerika Syarikat.

"Firma ini pernah dikaitkan dengan dua agen risikan Israel sebelum ini, firma ini berpengaruh dalam aktiviti lobi di Amerika, takkan dia (APCO) tak bisik apa-apa tentang Gaza pada Najib," ujar beliau lagi.

Tuntas dari itu, beliau menasihatkan Najib membatalkan perjanjian politik antara 'Kabinet Najib' dan APCO demi kepentingan dan kedaulatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui blog peribadinya, anwaribrahimblog.com mendedahkan, APCO dikepalai oleh Simen Stein (bekas duta Israel di Jerman), Itamar Robinovich (bekas duta Israel di Amerika Syarikat) dan Doron Bergerbest-Eilon (bekas Ketua Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel-ISA/Shin Bet).

Pendedahan itu, akhirnya mendesak Ahli Parlimen Umno tertentu mengheret Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

'Sembang Santai' anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali itu turut disertai oleh Dr. Mohd Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai), Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (Ahli Parlimen Bukit Gantang) dan Mohd Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap). hrk

2 ulasan:

azman kamarul berkata...

Salam..

Sejak sebelum dan selepas dilantik menjadi presiden 1malaysia tidak ada rasa sebesar zarah untuk mempercayai manusia yang bernama najib ini.

Apatah lagi untuk mengharap dia dapat membangunkan negara ini apatah lagi menjaga dan memartabatkan Islam di negara ini....demi Allah aku tidak mempercayainya dan mengharapkannya.

Tanpa Nama berkata...

Amat malang manusia yang bernama NAJIB