KUALA LUMPUR 27 Mac — Datuk Shahrir Abdul Samad memutuskan untuk meletakkan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setelah tidak terpilih sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan Umno semalam dan ia adalah muktamad.
“Ini adalah prinsipnya berparti dan sekiranya tidak dapat sokongan di kalangan perwakilan untuk menjadi anggota MT, perlu sanggup berundur dari jawatan menteri,” katanya.
Ketika ditemui pemberita di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini semasa sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno berhenti rehat, Shahrir berkata beliau akan mengundurkan diri pada mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Ketua Umno Bahagian Johor Baharu itu berkata adalah sukar untuk melaksanakan tugas sebagai Menteri sekiranya tidak mempunyai sokongan daripada parti.
“Kita kena ada prinsip dan kena patuh. Dalam politik terutamanya, kerja kita akan lebih mudah kalau kita mempunyai kekuatan moral. Jika kita tak ada kekuatan dan sokongan parti, kita tak boleh berdepan dengan pentadbiran, rakyat dan pembangkang dalam melaksanakan tugas kita.
“Umpamanya saya (sebagai) menteri kena hadir di Parlimen. Bagaimana saya nak menjawab soalan dengan begitu yakin kalau saya tak dapat sokongan dari parti.
“Itu jadi masalah bagi saya. (Orang akan mengatakan) YB ini, parti pun tak terima, kalah dalam pemilihan parti, macam mana boleh jadi menteri,” katanya. - Bernama
Catatan: Datuk Ali Rustam bila pula nak letak jawatan MB Melaka jika dia mempunyai prinsip seperti Datuk Shahrir berkaitan rasuah?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan