Ahad, 1 Februari 2009

Seorang Pejuang Melayu UMNO yang bodoh seperti Tun Faisal Ismail

Ditulis oleh Tun Faisal Ismail dari http://www.pemudaumno.org.my/modules.php?name=News&file=article&sid=8264

Kesanggupan menjual perjuangan bangsa boleh kita lihat dengan jelas apabila mereka bersekongkol dengan pembangkang demi menentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Walaupun Menteri Pelajaran telah berjanji bahawa pandangan mereka akan diambil kira dan ketika ini pegawai-pegawai di Kementerian Pelajaran sedang di peringkat akhir penyiapan cadangan kepada Jemaah Menteri, nampaknya seolah-olah, mereka ini terlalu terdesak.
Akhirnya mereka melutut kepada pembangkang, walaupun mereka tahu BANGSA lebih utama dari BAHASA; walaupun mereka tahu pembangkang sebenarnya tidak begitu kisah sangat pun tentang perjuangan bahasa Melayu, sebaliknya hanya mahu menentang parti pemerintah.
Pakatan pembangkang sememangnya tidak pernah kisah sangat pun tentang perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Pas misalnya, antara parti yang paling banyak mencemarkan bahasa Melayu dengan pelbagai istilah bahasa Arab.
DAP hanya mementingkan bahasa Cina. PKR langsung tidak ambil peduli. Lihat sahajalah papan tanda pelbagai bahasa yang pakatan pembangkang perjuang dan promosikan di negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka.
Tidakkah pejuang bahasa Melayu ini sedar bahawa, di tangan PKR dan DAP (dalam kes negeri Perak, dengan restu PAS), dengan adanya papan tanda pelbagai bahasa, kedudukan bahasa Melayu sudah diletakkan sama taraf dengan bahasa Cina dan Tamil?
Malangnya, ada dalam kalangan orang Melayu masih tidak sedar dan turut terikut-ikut dengan permainan politik pembangkang. Tidakkah orang Melayu ini sedar bahawa bagi pembangkang, yang penting adalah mereka mesti memperjuangkan sesuatu yang bertentangan Kerajaan.
Contohnya, ada sumber yang menyebut bahawa Ainon Mohd, isteri kepada Profesor Abdullah Hassan merupakan seorang anggota Muslimah Pas. Kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya, tetapi jika ini benar, sebagai Muslimah Pas, kita sedia maklum bahawa, agenda yang paling utama mereka adalah untuk memastikan penentangan terhadap UMNO.
Jika itu hakikatnya, maka sebab itu tidak menghairankan jika ada kompromi di antara parti pembangkang apabila timbul isu bahasa Melayu dalam kalangan mereka.
Mungkin disebabkan ini kita melihat tidak ada sebarang perarakan keranda yang digerakkan di Perak dan Pulau Pinang bagi menentang penggunaan papan tanda pelbagai bahasa, biar pun secara simboliknya, kedudukan bahasa Melayu telah diperlekeh dan dihina.
Malah tidak ada usaha oleh Ainon dan PKPIM untuk menggerakkan Gerakan Anti Papan Tanda Pelbagai Bahasa di dalam blog mereka? Tidakkah ini menghairankan?
Apabila pejuang bahasa Melayu sampai sanggup merayu dan memeluk pembangkang yang di dalam perlembagaan mereka secara terang-terangan menolak semangat dan perjuangan memartabatkan BANGSA MELAYU, maka itu lah sebenarnya nilai dan harga sebuah perjuangan bahasa dan bangsa para pejuang bahasa. Begitu murah. Begitu menjelekkan.
Apa guna perjuangan BAHASA, jika perjuangan BANGSA tidak didahulu dan diutamakan?
Kesanggupan sesetengah pejuang bahasa Melayu menjual agama Islam pada harga yang murah pula cukup memualkan.
Dalam kefanatikan yang amat sangat (assabiah) ada individu di dalam kelompok ini menyebut “ini adalah sunnah pemerintahan nabi dan rasul dalam pendidikan dan ajarannya ke atas umat itu. Tuhan mengutuskan nabi-nabi dan rasul-rasul mengikut bangsa dan bahasa dalam kalangan mereka sendiri agar penganutnya dapat memahami ilmu yang disampaikan oleh para nabi.
Malahan kufur nikmat jika mengabaikan anugerah Allah ini sebagaimana dinyatakan dalam Quran surah Ibrahim ayat 4 dan surah al-Rum ayat 22. Apa lagi bahasa Melayu bukan saja alat perpaduan kaum sebaliknya wahana pengucapan dan budaya ilmu tinggi dan sendi pembinaan tamadun negara Malaysia."
Penulis yakin ada golongan yang kurang pendidikan agama akan terpengaruh dan meng`imani’ kenyataan ini. Bagi golongan yang sanggup menjual ayat Allah SWT dengan harga yang murah ini, nasihat kita, janganlah mempergunakan agama demi menegakkan pendirian yang sempit.
Janganlah kita menggunakan ayat al-Quran jika tidak benar-benar faham asbabul nuzulnya.
Sedarlah bahawa 24 rasul diutus untuk membawa perintah Allah SWT kepada kaumnya sahaja dan dengan itu diterima akal fikiran jika perintah tersebut diturunkan di dalam bahasa kaum tersebut.
Sebaliknya, Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW bukan untuk satu kaum sahaja, tetapi untuk menjadi rasul kepada seluruh umat manusia pelbagai keturunan.
Seperti yang kita semua sedia maklum juga, al-Quran, biar pun menjadi pedoman untuk semua bangsa di dunia, tidak diturunkannya dalam pelbagai bahasa, sebaliknya diturunkan di dalam bahasa Arab.
Kalaulah mengikut logik golongan ini, jika Allah SWT hendak kita mempelajari al-Quran dalam bahasa ibunda, kenapakah tidak diturunkan al-Quran ini dalam pelbagai bahasa ibunda agar semua umat manusia dapat memahaminya dengan mudah?
Kenapa tidak diutus lebih ramai rasul agar dapat membimbing manusia pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa kaum dan suku mereka sendiri?
Tidakkah jika mengikut logik kumpulan ini, Allah SWT zalim kerana menyusahkan anak-anak daripada pelbagai kaum untuk mempelajari al-Quran dan ajaran Islam itu sendiri?
Malah kenapa pula Allah SWT menurunkan al-Quran kepada umat manusia bukan dalam bahasa Arab harian yang biasa sebaliknya di dalam bahasa Arab yang mempunyai nilai kesusasteraan yang tinggi?
Orang badawi biasa tidak mungkin dapat memahami al-Quran dengan baik, walaupun bahasa Arab itu bahasa ibunda mereka. Malah orang-orang kita di Malaysia terpaksa belajar cabang ilmu bahasa Arab seperti `balaghah' untuk memudahkan kita memahami maksud tersirat dan keindahan bahasa al-Quran.
Janganlah menjadi emosional dan bersifat assabiah sehingga sanggup menggunakan agama untuk menakut-nakut orang supaya menyokong pendirian kita.
Ingatlah, dalam berhujah pertama kita perlu berilmu, kedua, perlu bertaqwa kepada Allah SWT agar yang keluar dari mulut kita adalah kebenaran bukan kebatilan. Ketiga, bagi mereka yang berkedudukan, perlu bersifat wara’ (berhati-hati), jika tidak pengikut kita yang jahil agama akan beriman dengan kenyataan kita.
Bila prinsip ini tidak dipegang, maka tidak hairan ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan bahawa 'tuhan juga mencarut' dan malangnya, ramai pula yang bertaklid buta dengannya.
Tidak ada masalah untuk berjuang memperkasa kedudukan bahasa Melayu. Kita di dalam UMNO juga berjuang untuk memperkasa kedudukannya.
Cuma dalam keghairahan berjuang, jangan pula kita sampai sanggup menjual agama dan perjuangan memartabat bangsa.

Tiada ulasan: