Isnin, 15 April 2013

PRU13: TOLAK PARTI POLITIK SAMSENG DAN LUCAH

 Gambar hiasan

PETALING JAYA - Rakyat disaran untuk menolak terus politik yang berbentuk ganas dan lucah agar keadaan itu tidak menjadi budaya politik di negara ini. Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Wilayah Persekutuan (PUMWP), Dr Mohd Fauzi Zakaria berkata, perang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah bermula dan pelbagai cara untuk menjatuhkan pihak lawan sudah dilakukan oleh parti yang bertanding.

"Gejala politik ganas dan lucah seperti serang peribadi lawan dalam kempen politik dengan fitnah seks bertujuan aibkan dan menjatuhkan maruah individu yang disasarkan semakin menjadi-jadi.

"Rakyat harus mengisytiharkan perang ke atas politik seperti ini yang akan menghina maruah dan integriti politik negara di mata dunia," katanya pada sidang media selepas majlis Wacana Kepimpinan Islam dan Isu semasa menjelang PRU13 semalam.

Selain PUMWP, wacana itu turut disertai oleh Teras Kepimpinan Keupayaan Melayu (Teras), Majlis Ulama Asia Tenggara (Shura) dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim)
Menurut Mohd Fauzi, pihaknya menggesa semua pihak yang melaksanakan kempen ketika PRU13 tidak terjebak dengan politik kotor sekali gus tidak membenarkan sebarang pihak menjadikan pilihan raya ini sebagai pilihan raya paling kotor dalam sejarah Malaysia.

"Usaha maksimum untuk menjernihkan politik negara ini perlu dilancarkan oleh semua pihak. Kita tidak mahu kempen seumpama itu menjadi budaya politik dalam negara kita yang mana mampu merosakkan generasi dan negara sendiri," katanya.

Menurut Presiden Teras, Mohd Azmi Abd Hamid, semua pihak terutamanya pihak berkuasa tidak sepatutnya membiarkan budaya intimidasi agar huru-hara tidak berlaku di negara ini.

"Ketika ini keadaan seolah-olah 'bom jangka' kerana banyak pihak yang cuba mencetuskan provokasi, oleh itu kita minta pihak berkuasa jalankan tugas mereka dengan profesional agar pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

"Budaya intimidasi ini sangat bahaya kerana jika dibiarkan sudah pasti akan timbul huru-hara yang mana pihak yang ditekan tidak dapat menahan kesabaran mereka," katanya.

Mengulas mengenai memilih kepimpinan yang tepat dan menolak serangan peribadi yang berbentuk lucah, Mohd Azmi berpendapat, rakyat perlu bijak menilai dengan diselarikan amalan demokrasi yang dituntut Islam.

"Agama menolak untuk kita membudayakan politik fitnah dan lucah ini, bukan sahaja individu itu saja yang malu tetapi seluruh negara juga mendapat aib," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Shura, Abd Ghani Samsudin berkata, pihaknya berpendirian tanggungjawab mengundi adalah proses mengguna ruang demokrasi yang diamalkan sekarang dan ia perlu ditunaikan untuk memastikan kepentingan umat.

"Amalan pilihan raya perlu dimanfaat untuk tubuhkan sebuah kerajaan yang adil. Kami sanggah pendapat penglibatan umat Islam dalam pilihan raya bertentangan dengan Islam," katanya.

Tiada ulasan: