Isnin, 22 April 2013

CALON BEBAS LEPAS: SEBAHAGIAN STRATEGI PR


Kamarzaman (tengah) bersama Fauzi (kanan) dan Arman dalam sidang media khas mengumumkan keputusannya
menarik diri dalam persaingan calon kerusi Dun Lepar.

KUANTAN - Timbalan Setiausaha PKR Negeri, Kamarzaman Mohd Yunus, yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dun Lepar membuat pengumuman memeranjatkan apabila meminta pengundi supaya tidak memilih beliau, sebaliknya mengundi calon PKR, Jefri Jaafar Tukemin.

Menurutnya, keputusan beliau untuk bertanding atas tiket Bebas merupakan satu strategi menghadapi kemungkinan jika calon PKR dipilih menghadapi kesulitan atau halangan semasa proses penamaan calon.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan halangan dihadapi calon PKR itu, sebaliknya memberitahu ia bersifat peribadi.

“Tujuan saya menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas semalam (kelmarin) atas faktor menyelamat dan bukan untuk sabotaj calon tersebut.

“Perkara ini jelas dan berlaku atas arahan kepimpinan parti bagi memastikan semua calon PKR layak bertanding,” katanya pada sidang media di pejabat PKR negeri, semalam.

Kamarzaman berkata, apabila calon PKR disah layak bertanding, beliau dengan rela hati menarik diri daripada persaingan di kerusi itu dan akan beri sokongan kepada calon tersebut.

“Disebabkan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak benar calon menarik diri selepas pencalonan disahkan, kertas undi atas nama saya tetap diedar pada hari mengundi, justeru saya minta pengundi abaikannya dan beri undi calon PKR sahaja.

“Sebenarnya selepas pengumuman calon semalam, saya ke pejabat SPR untuk serah surat penarikan pencalonan itu. Bagaimanapun, seperti yang ditetapkan, kertas undi saya tetap diedarkan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu atas kepentingan dan menjaga nama baik parti dan bukan kerana kecewa seperti yang difikirkan sesetengah pihak.

“Saya mungkin calon pertama hilang wang deposit, namun semua itu tidak penting. Kemenangan parti lebih diutamakan,” katanya.

Menurutnya, beliau akan turun padang membantu calon PKR termasuk calon Parlimen Paya Besar, Murnie Hidayah Anuar.

“Saya akan bantu calon ini. bagaimanapun, tumpuan untuk kerusi Parlimen Indera Mahkota yang jadi medan pertarungan Pengerusi PKR Negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman dengan Ketua Umno Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat,” katanya.

Pada sidang media sama, Fauzi berkata, tidak timbul isu Kamarzaman berdepan tindakan dipecat daripada PKR kerana tindakannya sebahagian strategi demi kepentingan parti.

Dalam majlis itu, Fauzi mengumumkan jawatan Ketua Cabang PKR Paya Besar yang kosong berikutan pemecatan Zahari Mamat yang bertanding sebagai calon Bebas dipangku muka baru, Arman Abdul Rashid.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ini pun satu pengorbanan juga tapi boleh dikatakan bodoh juga sebabnya kita dah ketahui sebelumnya jika sudah sah diterima penamaan calun penarikkan diri tidak dibolehkan dan satu selepas diteriam juga masa bantahan sudah dilupuskan maka bermakna jika sudah diterima dan disahkan bermakna jika tarik diri dari bertanding bererti wang pertaruhan akan juga burn bagitu saja, tapi untuk kebaikan parti terima sajalah harap-harap pekerja semua berusahalah bersungguh untuk menebus kembali kehilangan wang pertaruhan itu.