KETEREH: Biar pun Datuk Seri Najib Razak dianggap
pewaris akhir kuasa Umno, namun budaya fitnah yang berlaku di bawah
kepemimpinannya paling teruk dalam sejarah kemerdekaan negara.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, berbanding perdana menteri
sebelumnya termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir
Mohamad, budaya fitnah di era Najib paling ketara sekali.
“Budaya fitnah paling teruk berlaku sekarang berbanding di era
perdana menteri sebelum ini,” katanya pada ceramah isu semasa di Medan
Ilmu, Kedai Peringat malam tadi.
Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Pengerusi Majlis
Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir, Adun Melor, Wan Ismail Wan
Jusoh dan pegawai penerangan PAS Kelantan, Abdul Hamid Derani.
Azmin berkata, beliau dan keluarga diserang dengan dakwaan fitnah selama dua bulan secara berterusan melalui media Umno.
Menurutnya, Utusan Malaysia dan TV3 mencerca isteri dan anaknya
dengan begitu mengaibkan sekali apabila mengungkitkan isu lama kira-kira
14 tahun lalu.
“Sedangkan laporan DNA daripada pakar perubatan di Hospital Kuala
Lumpur dan Singapura mengesahkan anak saya bersama isteri, Shamsidar.
“Anak saya ketika itu berusia tiga tahun dan sekarang sudah berumur
17 tahun. Tetapi pemimpin Umno tidak mohon maaf kepada saya dan keluarga
sehingga sekarang.
“Ini secara jelas menggambarkan Umno tidak reti masalah dosa dan
pahala sehingga isu seks serta moral menjadi mainan bagi mereka,”
ujarnya.
Beliau yang juga anggota parlimen Gombak berkata, pemimpin Umno boleh
melakukan apa sahaja sekarang selagi ada sisa-sisa kuasa, biar pun
melemparkan tuduhan yang tidak berasas.
Bagaimanapun dalam masa yang sama kerisauan Umno nampak semakin jelas
sekarang apabila Dr Mahathir membuat kenyataan supaya Pakatan Rakyat
tidak memfitnahnya sekiranya berlaku perubahan di Putrajaya pada pilihan
raya umum akan datang.
Azmin berkata, beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersilih ganti
menjadi mangsa fitnah secara rakus oleh pemimpin Umno tanpa
menghiraukan fakta dan kedudukan sebenar.
Sementara itu Husam mengesa kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Diraja
bagi menyiasat dakwaan kononnya Anwar menguasai 20 akaun induk berjumlah
RM3 bilion.
Katanya, sekiranya Suruhanjaya Diraja itu diwujudkan beliau akan
menyerahkan bukti bertulis daripada tulisan tangan bekas Penolong
Gabenor Bank Negara, Datuk Murad mengenai salah laku pemimpin Umno.
“Tulisan tangan itu ada dalam simpanan saya dan beberapa hari lepas
saya telah serahkan kepada Anwar. Tulisan itu ada menyebut bekas perdana
menteri membawa banyak duit ke luar negara,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan perjumpaan anak-anak perantau dengan
pimpinan kerajaan negeri pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini diadakan di
tapak pembinaan lebuh raya rakyat bagi membolehkan mereka melihat
sendiri projek dilaksanakan. hrk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan