Sabtu, 12 November 2011

BENARKAH WARTAWAN INDONESIA MUDAH DISOGOK?...

JAKARTA 11 Nov. - Demi ganjaran wang berjuta-juta rupiah, segelintir wartawan Indonesia didakwa sanggup menyiarkan laporan tidak tepat atau berat sebelah.

Bertambah parah, sebagai menjaga kepentingan pihak yang menawarkan suapan itu, wartawan-wartawan terbabit sanggup 'mereka cerita' termasuk isu-isu yang melibatkan politik, undang-undang dan ekonomi.

Amalan buruk itu didedahkan seorang wartawan yang hanya mahu dikenali sebagai Danu Pratama (bukan nama sebenar) kepada akhbar Jakarta Globe hari ini.

Danu yang sudah tujuh tahun bekerja sebagai wartawan berkata, dengan melakukan pekerjaan terkutuk itu, dia mampu mengaut upah antara 7.5 juta rupiah (RM2,623) sehingga ratusan juta rupiah.

Jelasnya, upah suapan tersebut mengambil kira sejauh mana kepentingan sesuatu isu itu didedahkan, sumber yang membiaya dan sebesar mana dakwaan mahu diperbesar atau dimanipulasi sama ada di media cetak atau elektronik serta media baru.

''Saya tidak melakukannya (menerima suapan) sendirian kerana jika hanya saya seorang, ia nampak terlalu ketara.

''Kebiasaannya, saya akan melakukannya bersama rakan-rakan lain. Semuanya lima wartawan dan saya bertindak sebagai koordinator dan berurusan dengan sumber yang memerlukan khidmat kami,'' katanya Danu sambil mendakwa kerja terkutuk itu turut diamalkan oleh wartawan organisasi media yang kononnya dianggap 'bersih' dan memiliki kredibiliti.

Sementara itu, pendedahan Danu turut menarik perhatian seorang wartawan kanan tempatan yang mengakui budaya 'menyogok' wartawan menjadi sebahagian daripada amalan dalam kerjaya kewartawanan di Indonesia.

''Bahkan, sesetengah pejabat kerajaan dan syarikat swasta menyediakan peruntukan kepada pihak media yang kononnya disebut sebagai 'elaun kenderaan'," kata Pengerusi Gerakan Wartawan Bebas Indonesia (AJI), Nezar Patria.

Dakwanya, pihak-pihak yang menyokong budaya negatif itu lazimnya memiliki senarai nama wartawan yang selalu membuat liputan acara mereka dan kumpulan wartawan terbabit dibayar antara 250,000 rupiah (RM87) hingga 1 juta rupiah (RM350).

''Kebiasaannya yang menerima wang itu terdiri daripada wartawan yang bekerja di organisasi media yang tidak memiliki kredibiliti atau syarikat yang menawarkan gaji kecil," dakwa Nezar. - Utusan Umno


Tiada ulasan: