Khamis, 3 Februari 2011

MERLIMAU - DOAKAN SAHAJA WAKIL RAKYAT ANDA MATI

Trend mengula-gulakan rakyat kini bakal bertapak di Merlimau pula setelah kejayaan cemerlang UMNO-BN berjaya dilakukan di DUN Tenang, Labis baru-baru ini.

Bukan main seronok pengundi-pengundi serta pencacai-pencacai UMNO-BN meraikan kemenangan calon mereka tanpa sedar ianya disusuli dengan hadiah kenaikkan harga minyak RON97 sebanyak RM0.10 daripada RM2.40 kepada RM2.50 pada keesokkan harinya.

Disini saya bukan hendak memfokuskan tentang kemenangan calon mereka tempohari, apatah lagi mahu berkongsi kegembiraan dengan makcik/pakcik felda. Yang ingin diketengahkan di sini adalah berkaitan dengan projek dan bantuan mee segera.

Dijangkakan limpahan projek serta bantuan yang akan disalurkan di DUN Merlimau akan dilaksanakan selewat-lewatnya ketika hari penamaan calon pada 26 Feb ini.

Telah terlalu banyak contoh yang kita dengar, baca dan lihat disekeliling kita apabila setiap kali diadakan PRK maka sogokkan projek serta bantuan pilihan raya pasti akan mewarnai suasana.

Nampaknya semakin ramailah rakyat akan mendoakan wakil rakyat di tempat mereka mati apabila mereka memerlukan bantuan atau sumbangan. Itulah jalan yang paling mudah untuk mendapatkan projek mee segera serta bantuan untuk masjid, surau dan sekolah-sekolah.

Lebih kerap wakil rakyat mati bermakna lebih cepatlah bantuan dan sumbangan akan tiba untuk penduduk setempat. Tak kiralah samada ianya dari wakil rakyat BN atau pembangkang.

Persoalannya, adakah kematian wakil rakyat merupakan tiket untuk mendapatkan bantuan segera? Jadi, apakah fungsi wakil rakyat semasa hidupnya.

Pilihanraya kecil di mana pula selepas di DUN Merlimau?

Rabu, 2 Februari 2011

MERLIMAU - BERSEDIA DENGAN LIMPAHAN PROJEK DAN BANTUAN SEGERA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan sehari ke Merlimau pada 19 Feb depan untuk meninjau kemajuan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata antara aturcara sempena lawatan Perdana Menteri ialah merasmikan pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, yang dibangunkan dengan anggaran kos RM300 juta di atas tanah milik Yayasan Melaka.

Beliau juga dijadual melakukan pecah tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Merlimau, melakukan tinjauan mesra di Pekan Merlimau dan pada sebelah malamnya menghadiri jamuan rakyat serta jamuan Tahun Baru Cina di pekan itu.

Sempena lawatan itu, Najib, yang juga pengerusi BN akan mendengar taklimat persediaan pilihan raya kecil DUN Merlimau, kata Mohd Ali kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, di Seri Bendahara di Melaka hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu pada 26 Februari manakala hari pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Mohd Ali berkata lebih banyak kawasan industri baru akan dibangunkan di DUN Merlimau, antaranya di Lipat Kajang bagi pembangunan lebih pesat.

Mengulas mengenai pilihan raya di DUN berkenaan, beliau berkata Merlimau merupakan kubu kuat BN sejak dahulu dan menyaksikan banyak pembangunan.

"Saya juga percaya sentimen pengundi di DUN itu kuat dan berada dalam mood yang baik untuk terus menyokong BN kerana banyak jasa ditinggalkan oleh Allahyarham Mohamad Hidhir untuk pembangunan Merlimau," katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

DUN itu mempunyai 10,679 pengundi pendaftar. - Bernama