Memaparkan catatan dengan label blogger pro umno. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label blogger pro umno. Papar semua catatan

Selasa, 17 Januari 2012

PARPUKARI DAN PAPA GOMO NAK SAMAN ABD RAZAK

Penulis blog pro-Umno Papagomo dan Parpukari menghadapi tuntutan saman sehingga RM10 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor.

Abdul Razak melalui firma guaman Netto & Co pada 3 Januari lalu mengeluarkan surat tuntutan ke atas kedua-dua mereka dan juga satu notis tuntutan yang disiarkan pada akhbar utama Sabtu lalu.

Ketika dihubungi, peguam Abdul Razak, - Ruben Netto berkata anak guamnya itu terpaksa menggunakan notis awam kerana beliau tidak mempunyai cara lain untuk membela dirinya.

"Apabila kita menghadap seorang hakim, kita mahu mengatakan bahawa kita telah melakukan segala-galanya yang terdaya untuk mengenal pasti penulis blog itu," katanya.

Notis berkenaan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog Papagomo dan Mohamad Salim Iskandar sebagai pemilik blog Parpukari.

Abdul Razak mendakwa bahawa Papagomo melalui posting di blog pada 11 Disember tahun lalu dan Parpukari melalui posting pada 4 Disember dan 12 Disember tahun lalu telah memfitnah dirinya.

"Mereka memfitnah anak guam saya dengan memanggilnya penyanggak dan menuduhnya menipu kerajaan serta bersekongkol dengan pembangkang dan melabelnya sebagai tidak tahu bersyukur kepada Umno," kata Netto.

Menurutnya tuntutan RM10 juta daripada setiap mereka itu adalah wajar dan menambah Abdul Razak adalah pemegang lesen telekomunikasi yang berhubungan dengan perkhidmatan jalur lebar dan satelit dengan kerjasama dari Telekom Malaysia.

"Beliau membekalkan rakyat negara ini dengan perkhidmatan jalur lebar melalui kerjasama dengan Telekom Malaysia, beliau adalah orang yang agak berpengaruh dari segi perkhidmatan yang ditawarkan itu.

"Tetapi dengan artikel-artikel yang berbaur fitnah ini, bank-bank dan Telekom memanggil anak guaman saya dan menuntut jawapan berhubung apa yang sedang berlaku," katanya.

Netto berkata beliau dimaklumkan bahawa Papagomo telah menemui dengan beberapa penulis blog lain dan meminta nasihat bagaimana mengendalikan saman berkenaan manakala Parpukari setakat ini mengabaikan notis undang-undang itu.

"Jika menjelang akhir minggu, mereka tidak menunjukkan sebarang keikhlasan secara bertulis atau mahu berunding, maka mereka akan memaksa kami untuk memfailkan tindakan di mahkamah," katanya.

Selain daripada ganti rugi, mengikut surat yang dihantar on 3 Januari lalu, Abdul Razak menuntut untuk kedua-dua mereka untuk menarik balik dakwaan mereka dari blog mereka serta membuat permohonan maaf.

Jika tiada reaksi dari penulis blog berkenaan, Netto menambah, saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seawal Jumaat ini ataupun paling lewat pada awal minggu depan.

Papagomo sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi, termasuk mendakwa anak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meramas buah dada rakan pelajar perempuan tetapi dakwaan itu akhirnya terbukti tidak benar.

Ahad, 18 Disember 2011

PAPAGOMO SERANG BLOGGER UMB

Para blogger ternama pro-kerajaan terus tidak sehaluan, berpecah belah dan tidak segan silu menyerang antara satu sama lain meskipun telah diberitahu pucuk pimpinan UMNO untuk melenyapkan persengketaan itu menjelang Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Pergaduhan di kalangan blogger pro-kerajaan semakin menjadi-jadi sepanjang tahun ini di mana secara terang-terangan mereka menulis di blog masing-masing mengenai pertikaian yang dipercayai berpunca dari persoalan ‘siapa dapat apa?’.

Papa Gomo menggelar blogger Bigdog dan Rocky Bru sebagai ‘anjing’ dan ‘Rockyngah’, manakala blogger Unit Media Baru (UMB) Tun Faisal menghentam Papa Gomo sebagai lupa daratan serta blogger jalanan.

Baru-baru ini Papa Gomo telah menyerang lagi Bigdog di dalam tulisannya mengenai isu menaiki kapal selam Scorpene KD Tun Razak sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2011.

Dalam tulisannya, Papa Gomo menyatakan bahawa Bigdog telah melakukan khianat kepadanya kerana membocorkan maklumat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa dia akan turut bersama Setiausahan DAP itu ketika menyelam bersama KD Tun Razak, Jumaat lalu.

“Apa pun Musuh Dari Dalam Lebih Merbahaya dari luar….. Terima Kasih Blogger Big Dog atas Pengkhianatan yang anda lakukan dalam menjadi Mulut Tempayan kepada Lim Guan Eng,” kata Papa Gomo di blognya.

Selain mendakwa dianiaya Bigdog, Papa Gomo turut mempersoalkan mengapa tidak seorang pun mempertikaikan tindakan Bigdog yang menaiki helikopter Superlinks bersama Guan Eng ketika itu.

Papa Gomo dan Bigdog pernah bergaduh di blog mengenai isu kononnya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, telah merogol seorang amahnya yang merupakan seorang warga Indonesia.

Di dalam kes itu, Papa Gomo mendakwa Bigdog telah menjadi punca fitnah tersebut dengan menyebarkan maklumat kepada blogger Rocky Bru untuk menimbulkan dakwaan itu sehingga menjadi bahan serangan para blogger pro-Pakatan Rakyat.

Dakwaan berkenaan terbukti palsu apabila Rais menang di dalam saman beliau terhadap seorang blogger pro-Pakatan Rakyat, Amizuddin Ahmat, dan pemilik blog sharpshooterblogger itu diarahkan mahkamah untuk membayar RM300,000 kepada Menteri berkenaan.

Para pemerhati blog-blog politik di negara ini juga menyaksikan pertelingkahan berlaku di antara Papa Gomo dan Tun Faisal, yang saling menyerang serta mengutuk antara satu sama lain.

Tun Faisal misalnya menuduh Papa Gomo sebagai penipu, ego, bongkak, lupa daratan dan menyerang peribadi blogger tersebut yang dikatakan berpendidikan rendah serta menyara hidup dengan berniaga barangan tiruan di uptown.

Papa Gomo membalas dengan menggelar Tun Faisal sebagai ‘Tun F**kzal’ dan mengutuk Ketua UMB itu sebagai bacul serta berbohong di blognya.

Mereka turut bergaduh di laman sosial Facebook dan Twitter mengenai soal remeh temeh berkenaan peruntukan, disiplin, bodek membodek Pak-Pak Menteri serta modus operandi “psy-war”.

Persoalannya kini, di kala para pemimpin Barisan Nasional (BN) membayangkan bahawa Pilihanraya Umum ke-13 sudah semakin hampir, mengapa blogger-blogger pro-kerajaan ini masih berbalah dan bergaduh sesama sendiri lagi?

Tidakkah mereka rasa malu pada pembaca dan blogger pro-pembangkang yang tertawa melihat sikap keanak-anakan yang dipamerkan?

Apakah dengan menggelar rakan seperjuangan yang lain dengan gelaran-gelaran keji sebegitu mampu memenangkan BN pada PRU ke-13 nanti?

Sampai bila mereka mahu menunjukkan ketidakmatangan mereka dan bertelingkah sedangkan mereka berada di dalam satu jemaah yang berjuang demi Islam, bangsa dan negara?

Itu baru jadi blogger.

Kalau mereka dilantik jadi pemimpin, calon BN, ADUN, Ahli Parlimen atau Menteri, mungkin huru-hara jadinya nanti.

Justeru itu, sudah-sudahlah bergaduh macam budak-budak dan sikap tersebut hanya akan membuat Pakatan Rakyat ketawa terbahak-bahak saja. Merapatkan saf perjuangan adalah lebih baik ketika ini– Mynewshub.my