Memaparkan catatan dengan label Chua Soi Lek. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Chua Soi Lek. Papar semua catatan

Jumaat, 19 Oktober 2012

FATWA SOI LEK - 1.2 JUTA RAKYAT HILANG PEKERJAAN, DIMANA UMNO!?...


Pemuda PAS menyifatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai “meracau” dan cuba menjadi “hero kartun” apabila mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan jika hudud dilaksanakan.

Ketuanya Nasrudin Hassan mempersoalkan kenyataan “dangkal”, “melucukan” dan “tidak berasas” itu ekoran ia hanya bersandarkan SMS daripada individu yang tidak dikenali, sekali gus dianggap tidak profesional dan tidak bernilai akademik.

“Apakah Dr Chua Soi Lek telah dirasuk 'syaitan yang dikenali' sehingga lantang mempersoalkan hukum hudud hanya berdasarkan SMS yang dikirim oleh individu yang tidak dikenali?” katanya.

Dr Chua semalam mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Memetik SMS oleh individu tidak dikenali, beliau menyenaraikan pelbagai industri yang didakwa akan terjejas, termasuk resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan rumah urut.

Dalam kenyataannya semalam, Nasrudin berkata, Pemuda PAS mendesak Dr Chua segera memohon maaf kepada umat Islam dan seluruh rakyat kerana didakwa mencetus keresahan masyarakat.

“Ini adalah fitnah yang melampau. Sedangkan rakyat yang beragama Islam wajib menerima hukum Alah SWT ini, sementara non-Muslim pula tidak perlu bimbang dan resah justeru perlaksanaan hukum Islam justeru ia tidak dipaksa ke atas mereka,” katanya.

Nasrudin juga menyeru supaya rakyat bijak memilih pemimpin masa depan negara, sekali gus menolak “syaitan yang dikenali bersama komponennya yang semakin meracau di usia lewat”.

Istilah “syaitan yang dikenali” digunakan meluas oleh pembangkang bagi menyindir BN ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memetik peribahasa Inggeris “better to choose the devil you know than the angel that you don’t know” (terjemahan langsung: lebih baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali).

Cemuhan serupa turut disuarakan ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon yang berkata Chua "berkhayal" sehingga mengeluarkan dakwaan "mengarut" seperti itu.

"Dr Chua seperti meludah ke langit dengan mendakwa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat, maka semua premis arak, judi, kafe siber dan refleksologi akan ditutup.

"Sebaliknya di dalam Selangor, ADUN MCA telah mengadu bahawa kerajaan negeri telah banyak meluluskan bilangan lesen kafe siber dan rumah urut yang sendirinya bertentangan dengan kenyataan Chua," katanya lagi.

Rabu, 18 November 2009

MCA DIAMBANG PERPECAHAN - PKFZ

Dalam keadaan sebak, Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun merayu kepada semua perwakilan parti itu supaya menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini untuk mendesak supaya diadakan pemilihan baru parti.

Bercakap dalam sidang akhbar sejurus selepas mereka digugurkan dari majlis presiden MCA, mereka berkata, kehadiran penuh perwakilan di EGM tersebut adalah penting untuk memulihkan demokrasi dalam parti itu.

Sidang akhbar itu bermula dengan naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata hati kumpulan tersebut 'terluka' ekoran pengguguran sembilan anggota majlis tersebut.

Beliau menyifatkan tindakan MCA 'membuang" ketua Pemuda dan Wanitanya sebagai satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan lagi.

Liow mendakwa presiden memilih orangnya sendiri dan menyingkirkan mereka yang tidak sehaluan dengannya, supaya beliau mempunyai kuasa mutlak dalam majlis presiden.

Berikutan itu, beliau menggesa semua perwakilan MCA supaya 'bangun" dan beramai-ramai datang menghadiri EGM 28 November ini untuk meluluskan resolusinya.

Katanya, ini adalah masanya untuk mereka membuat keputusan bagi membawa perubahan demi kebaikan parti.

MCA, katanya, mesti mengembalikan politik nilai dan mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi.

Liow yang kelihatan tegas tetapi tenang, dapat menguasai dirinya dan tidak menangis.

Sebelum ini, jawatankuasa pusat MCA telah mengundi menolak EGM tersebut yang diusahakan oleh penyokong Liow.

Selasa, 1 September 2009

ERA NAJIB ALTANTUYA - MESTI BACA: BUKTI BN MASIH KUAT

Kita sering dengar ungkapan ini dari pemimpin UMNO mengatakan bahawa Barisan Nasional (BN) masih merupakan parti yang kuat berbanding pakatan pembangkang. Dan inilah buktinya.

MCA makin tenat

KUALA LUMPUR: Krisis MCA dijangka bertambah meruncing apabila dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) mungkin diadakan susulan pemecatan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada parti, minggu lalu.

Ini berikutan keputusan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, untuk memanggil EGM ketika penyokong Dr Chua turut merancang mengadakan mesyuarat berkenaan dalam usaha membatalkan pemecatan Timbalan Presiden itu.

Ong dalam satu kenyataan di dalam blognya semalam berkata, beliau terpaksa menggunakan klausa 30.1 perlembagaan parti untuk mengarahkan EGM diadakan bagi membolehkan perwakilan menyatakan pendirian berhubung kontroversi pemecatan Chua berikutan skandal seksnya pada 2007.

“EGM ini juga diadakan bagi mengetahui sama ada ahli parti bersetuju dengan cara penyelesaian isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Mengadakan EGM adalah satu keputusan yang besar dan ia lebih bererti ketika negara sedang menyambut kemerdekaan ke-52,” katanya.

Rabu lalu, Majlis Presiden MCA memecat Chua berkuat kuasa serta-merta kerana skandal seksnya yang dikatakan memberi imej buruk kepada parti, tetapi keputusan itu dibantah sesetengah pemimpin dan ahli MCA.

Berikutan itu, penyokong Chua berusaha mendapatkan tandatangan perwakilan MCA bagi mengadakan EGM bagi membatalkan pemecatannya.

Mengikut perlembagaan MCA, EGM boleh diadakan melalui tiga kaedah, iaitu persetujuan satu pertiga perwakilan, arahan daripada presiden dan satu pertiga anggota Jawatankuasa Pusat parti.

Ong berharap ahli MCA dapat membuat keputusan terbaik demi kepentingan parti, bukannya dipengaruhi oleh faktor diri beliau.

“Suara ahli parti lebih penting bagi meneruskan kelangsungan MCA yang menjadi tonggak penting kemerdekaan negara selama ini. Keputusan ini juga diharap mengembalikan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Chua ketika dihubungi Berita Harian pula mempersoalkan tindakan Ong menggunakan kuasanya mengarahkan parti mengadakan EGM, sedangkan Presiden MCA itu sebelum ini menyelar usaha sekumpulan ahli untuk mengadakan EGM yang dianggap boleh memecahbelahkan parti.

“Keputusan Ong itu mengelirukan penyokong dan ahli MCA, sekali gus menunjukkan pendiriannya yang sering berubah-ubah. Ketika saya dipecat dan penyokong saya berura-ura mahukan EGM, Ong menyelar dengan mengatakan ini akan menyebabkan MCA berpecah.

“Tetapi kini dia sendiri yang inginkan EGM dan perkembangan terbaru ini tidak akan menghalang penyokong saya untuk terus mendapatkan tandatangan dan mengadakan EGM seperti yang diinginkan.

“Jika satu pertiga perwakilan meminta EGM dan semua syarat dipenuhi, parti tidak boleh menafikan permintaan itu dan apa yang kami lakukan adalah menggunakan kuasa perwakilan yang menjadi akar umbi dalam menentukan kedudukan kita dalam parti, berbanding Ong yang menggunakan kuasa Presiden,” katanya.

Chua berkata, tindakan penyokongnya yang mahukan EGM bukan untuk membela beliau, tetapi lebih penting bagi menentukan hala tuju MCA pada masa akan datang.

“Kami komited untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kecewa apabila MCA yang dipimpin Ong gagal menyatupadukan parti dan menggariskan hala tuju seperti yang dilakukan Perdana Menteri.

“Bahkan, terlalu banyak politiking dalam MCA hingga mengabaikan tuntutan dan aspirasi rakyat, malah tiada usaha langsung daripada MCA untuk menjayakan kempen 1Malaysia,” katanya.

Chua yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, semalam berkata beliau akan meneliti agenda Ong dalam menganjurkan EGM kerana apa yang berlaku sekarang membuktikan alasan Presiden MCA itu memecatnya adalah tidak benar.

“Dia beritahu pemecatan saya untuk membentuk imej parti yang baik dan jika itu benar, ahli MCA semestinya mengalukan keputusan itu dan berasa lega tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ramai ahli yang kecewa dan berasa marah.

“Sekarang, orang sudah nampak siapa sebenarnya yang menjejaskan nama baik MCA walaupun dia mahu tonjolkan dirinya seolah-olah kelihatan baik dan bersungguh-sungguh memerangi rasuah dalam kes penyelewengan PKFZ,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Ming ketika dihubungi mengesahkan menerima arahan daripada Ong pagi semalam supaya memanggil EGM.

Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan hari ini bagi membincangkan tarikh, masa dan tempat EGM akan diadakan, selain agenda yang akan dibawa ke mesyuarat itu.

Wong berkata, EGM itu akan diadakan dalam tempoh 30 hari dan beliau berharap notis mengenai boleh dikeluarkan hari ini.