Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan berkuatkuasa
1 Jan 2013, kerajaan bersetuju pangkat-pangkat dalam perkhidmatan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
disetarakan dengan Perkhidmatan Awam Am selaras perubahan lapisan gred
jawatan atau gred gaji.
Beliau berkata ia mencakupi skop fungsi tugas, struktur pangkat dan juga kelayakan bagi skim perkhidmatan ATM dan PDRM.
"Sebagai contoh, Koperal dalam ATM dan PDRM yang dahulunya dalam
kelompok gred jawatan atau gred gaji 17 disetarakan dengan gred jawatan
atau gred gaji 22 Perkhidmatan Awam. Sarjan yang dulu dalam kelompok
gred jawatan 27 disetarakan dengan gred jawatan 29 Perkhidmatan Awam
Am," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 di
sini.
Sementara itu, bagi jawatan Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis yang
dahulunya dalam kelompok gred jawatan 41 disetarakan dengan gred jawatan
44.
Untuk jawatan Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis yang dahulunya dalam
kelompok gred jawatan 41, diletakkan dengan gred jawatan baru iaitu 46A
sementara Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dalam kelompok
gred jawatan 48 disetarakan dengan gred 52.
"Sesungguhnya kesetaraan ini dibuat bagi memastikan kedudukan
ketiga-tiga perkhidmatan iaitu ATM, PDRM dan Perkhidmatan Awam Am
sentiasa terpelihara di samping mengekalkan keharmonian antara
perkhidmatan," katanya.
Sementara itu, Najib berkata perjuangan mulia para patriot dari pasukan,
agensi dan perkhidmatan keselamatan negara telah membawa Malaysia
berada pada tahap pembangunan dan kemajuan seperti yang dinikmati ketika
ini.
“Kata orang, berkorban apa sahaja, harta ataupun nyawa. Itulah bakti mulia kerana agama, bangsa dan negara,” katanya.
Merujuk kepada lapan wira negara yang telah gugur di Lahad Datu dan
Semporna di Sabah, Najib berkata ia adalah sebuah manifestasi terbaik
iltizam para penjawat awam terhadap negara dan amanah yang dipikul.
“Mereka meneruskan tradisi mulia generasi demi generasi yang telah menyarung uniform perkhidmatan PDRM dan ATM.
"Iltizam mereka itulah yang telah membolehkan kita warga Malaysia
menjalankan kegiatan seharian tanpa rasa bimbang dan takut, membolehkan
anak-anak kita selamat ke sekolah, membolehkan kita mencari rezeki dan
pada akhir setiap hari pulang ke rumah kepada keluarga tercinta.
“Hakikatnya mereka telah membolehkan kita terus maju dan makmur,” katanya.
Najib turut mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada setiap keluarga yang terlibat.
“Pengorbanan mereka tidak sia-sia. Mereka pergi dalam rangka menunaikan amanah dan menjalankan tanggungjawab,” katanya.
-Bernama
3 ulasan:
tahniah pd pasukan keselamatan.. harap keja jgn tuang...
tahniah pd pasukan keselamatan.. harap keja jgn tuang...
Terima Pakatan kerana anda kuat kami naik gaji
Catat Ulasan